Monday, 20 October 2014

PENDIDIKAN BAHASA MELAYU


KEMAHIRAN BERFIKIR DALAM MATA PELAJARAN 
BAHASA MELAYU DI SEKOLAH RENDAH


PENDAHULUAN

Kemahiran berfikir adalah penting dalam sistem pendidikan. Dalam usaha melahirkan pelajar yang berkemahiran dan berpengetahuan, pelaksanaan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dalam pengajaran dan pembelajaran, khususnya, Bahasa Melayu perlulah diberikan penekanan. Walaupun pelaksanaannya telah lama dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, namun masih wujud lagi masalah terutama dari segi kefahaman guru dan amalan pedagogi.

KEPENTINGAN KEMAHIRAN BERFIKIR

         Keupayaan berfikir berkesan amat penting dalam dunia yang semakin moden dan canggih ini. Dalam menghadapi cabaran dalam dunia globalisasi ini, kita tidak hanya memerlukan pengetahuan tetapi kita mesti ada kemampuan berfikir dan mengerakkan minda apabila menghadapi sesuatu situasi.

“Pendidikan dan kehidupan berkait rapat. Corak pendidikan yang diterima pada hari ini akan menentukan corak dan kehidupan masa depan seseorang. Pendidikan yang baik akan menghasilkan insan yang baik, iaitu insan yang boleh berfikir secara rasional dan berakhlak.”
                    ( Mohd. Kasim Ismail . Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, hal 167)

         Modenisasi dan perubahan yang pesat mendedahkan seseorang kepada pelbagai pilihan dan ini memerlukan kemahiran dan kepakaran seseorang membuat pilihan dan keputusan. Kerap kali, seseorang yang tidak mempunyai kemahiran berfikir akan menghadapi masalah dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah mengenai pelbagai isu. Mereka akan menghadapi kesukaran dan mudah melakukan kesilapan dalam setiap keputusan, penyelesaian masalah atau mentafsir idea yang diperolehi.

         Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha untuk melatih dan melahirkan guru-guru yang berkemahiran dan berkemampuan menggunakan Kaedah kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini diperkenal adalah bertujuan memodenkan sistem pendidikan negara kita. Dalam menempuh arus globalisasi, murid-murid perlulah didedahkan dengan keupayaan berfikir dan bukan lagi menghafal.

“Dalam seminar bertema “Education For All” 1990 yang dianjurkan oleh Bank Dunia, UNICEF dan UNESCO, kemahiran asas tidak lagi terbatas kepada 3M : Membaca, Menulis dan Mengira, tetapi ditambahkan dua kemahiran lagi, iaitu Kemahiran Berfikir dan Kemahiran Saintifik. Oleh itu, pendidikan sedunia semakin mementingkan peningkatan kemahiran berfikir di kalangan generasi masa kini.”   (Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif, hal. 1 )

“Penerapan Kemahiran Berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan keperluan negara ke arah K-ekonomi. Dalam kurikulum KBSR dan KBSM yang disemak semula, kemahiran berfikir adalah antara unsur utama yang diberikan penekanan yang dinyatakan secara tersurat.
                    (Kemahiran Berfikir Dalam Pengajaran & Pembelajaran, 1989, hal. 4.)

“Para pelajar tidak hanya menerima pengetahuan semata-mata tetapi mereka seharusnya dapat menyatakan idea, fikiran dan pendapat dengan jelas, objektif, kreatif dan rasional dalam semua situasi. Untuk mencapai hasrat ini, peluang bagi meningkatkan daya intelek perlu diwujudkan supaya pemikiran yang kritis dan analitis akan menjadi salah satu aspek yang penting dalam tiap-tiap aktiviti pembelajaran.”
                                           (Pusat Perkembangan Kurikulum 1989, hal. 5.)

“Kemahiran Berfikir adalah bertujuan supaya pelajar bukan setakat mempunyai pengetahuan akademik yang banyak tetapi mereka juga mempunyai kemahiran menggunakan pengetahuan yang ada pada mereka itu secara kreatif bagi mencipta pelbagai idea, menyelesaikan pelbagai masalah secara berkesan, membuat keputusan yang terbaik, mengelakkan pelbagai kesilapan berfikir dan lain-lain.”
                             ( Abdullah Hassan & Ainon Mohd, Belajar Berfikir, 2003)


KESIMPULAN

Berdasarkan keperluan dan kepentingan melahirkan manusia atau rakyat Malaysia yang bijaksana dan pintar dalam berfikir, maka langkah awalnya adalah memberikan pendidikan dan pemahaman kepada guru, pelajar dan pentadbiran sekolah tentang keperluan penggunaan kaedah kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran.







No comments:

Post a Comment